Sejarah penulisan Mohd_Faizal_Musa

Dalam bidang penulisan, antara novel beliau yang telah diterbitkan adalah Cinta Hari-hari Rusuhan terbitan Creative Enterprise (2000), ia dicalonkan ke peringkat akhir Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000-2001. Juga Perempuan Politikus Melayu oleh Penerbitan Pemuda (2000). Ia dicalonkan ke peringkat akhir Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000-2001. Johan Jaafar, pengkritik sastera terkenal menamakan beberapa novel politik dari Malaysia yang baik dan Perempuan Politikus Melayu dinyatakan sebagai "mengetengahkan pola pemikiran politik wanita"[8].

Selain itu 1515 diterbitkan oleh Utusan Publications and Distributor (2003). Ia memenangi tempat pertama Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Exxon Mobil tahun 2002. Novel ini juga menerima Anugerah Buku Negara tahun 2005 (untuk kategori Buku Umum Fiksyen Bahasa Melayu). 1515 turut dijadikan teks bacaan mahasiswa pengajian Melayu di Universiti Cologne, Jerman. Pada tahun 2011, 1515 diterjemah dan diterbitkan oleh Institut Terjemahan Negara. 1515 dapat dianggap karya Faisal Tehrani paling penting di awal penulisan beliau. Sebagai contoh, Profesor Emeritus Dr Salleh Yaapar, Universiti Sains Malaysia (USM), memperkatakan kehebatan 1515; "yang mengungkapkan semula sejarah dan identiti Melayu"[9]. Dalam sebuah makalah akademik, Profesor Salleh juga menamakan 1515 sebagai karya besar[10]. Profesor Sohaimi Abdul Aziz, Universiti Sains Malaysia (USM), turut menamakan 1515 sebagai novel yang penuh teknik dan pendekatan sastera[11]. Rosma Derak dari Universiti Malaysia Sabah, Malaysia pula menyifatkan 1515 karya terbaik Faisal Tehrani dan kekuatannya adalah penggunaan ‘deconstructing historiography’ atau 'penulisan semula sejarah'[12]. 1515 juga menjadi satu-satunya novel Malaysia kontemporari yang disebut dalam The Encyclopedia of the Novel terbitan Blackwell (2011)[13]

Karya lain beliau termasuklah Maaf Dari Sorga, novel pertama dalam pembikinan tetapi hanya diterbitkan pada tahun 2003 oleh Zebra Publications; Rahsia Ummi yang diterbitkan oleh Zebra Publications 2003. Dalam pada itu terdapat juga Tunggu Teduh Dulu yang disirikan di ruangan agama Utusan Malaysia dan tamat pada Disember 2003. Novel ini diterbitkan oleh Penerbitan Se-lain (2004) dan Ameen Publishing (2008). Sebuah lagi novel beliau yang terkenal adalah 1511H Kombat oleh Utusan Publications and Distributor (2004)[14]. Ia memenangi tempat pertama Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Exxon Mobil tahun 2003; dan Advencer Si Peniup Ney oleh Utusan Publications and Distributor (2004). Ia memenangi tempat pertama Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Exxon Mobil tahun 2004.

Sebuah novel remaja awal yang turut digemari ramai adalah Detektif Indigo oleh Utusan Publications and Distributor (2004). Ia memenangi tempat kedua Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Exxon Mobil tahun 2004. Dalam pada itu sebuah novel sejarah turut dikarang tahun berikutnya, iaitu Surat-surat Perempuan Johor oleh Yayasan Warisan Johor (2005). Ia memenangi Sayembara Novel Sejarah dan Tradisi Johor 1. Turut dihasilkan Ikan Fugu, Lukisan & Jimson oleh Utusan Publications and Distributor (2007). Ia merupakan sekuel kepada Detektif Indigo. Dalam makalah akademik 'Adolescent Knowledge Indexes in Detektif Indigo' (2013), terbit di Malay Literature 26 (12): 80-99, dua sarjana Universiti Malaya iaitu Dr Tengku Intan Marlina Mohd Ali dan Dr Salinah Ja’afar dari Akademi Pengajian Melayu menyatakan novel Detektif Indigo ini sangat sarat dengan ilmu untuk remaja dan berguna untuk melatih kemahiran[15].

Novel Tunggu Teduh Dulu dan Surat-surat Perempuan Johor menerima pujian oleh Siti Rabeah Masri, Kamariah Kamarudin dan Pabiyah Hajimaming (Universiti Putra Malaysia) dalam makalah mereka yang berjudul 'The Muslim Woman’s Personality and the Development of Insan Al-Kamil in the Novels of Faisal Tehrani and Isa Kamari', terbit di Malay Literature 26 (1): 38-64; pemakalah menyebut 'novel-novel Faisal Tehrani tersebut secara dominan meletakkan wanita Muslim sebagai karektor yang berwibawa[16]' ('Faisal Tehrani’s novels are more dominant in putting forth depictions Muslim women of extraordinary character'.)

Pada tahun 2007, Faisal Tehrani menghasilkan Bedar Sukma Bisu oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (2007). Ia memenangi Sayembara Jubli Emas DBP kategori novel umum. Bedar Sukma Bisu turut meraih Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006/2007[17]. SM Zakir dalam makalah Myth and Religion in the Fu Numeral (Bilangan Fu) and the Prau With the Silent Soul (Bedar Sukma Bisu) terbit di Malay Literature 22(2): 168-190, memuji pemanfaatan mitos yang digubah Faisal di dalam novel tersebut[18].

Manikam Kalbu oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (2007). Ia memenangi Sayembara Jubli Emas DBP kategori novel remaja. Di sebuah majlis pada 22 Disember 2009, Manikam Kalbu dianugerahkan pula Anugerah Buku Kebangsaan Malaysia kategori Buku Remaja Fiksyen Terbaik oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia. Manikam Kalbu turut meraih Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006/2007. Dalam sebuah kajian, novel ini dianggap tepu dengan kearifan tempatan (local knowledge) oleh Dr Wan Zaliha Wan Othman dan Profesor Dr Mohamad Mokhtar Abu Hassan[19].

Faisal terus prolifik dengan menghasilkan Tuhan Manusia oleh Ameen Publishing (2007). Amir Muhammad, penulis, pembikin filem dan penerbit Fixi pernah menyatakan; "Tuhan Manusia adalah provokatif dan sebuah kerja yang memeranjatkan. Secara tematiknya ia sangat konservatif, tetapi mengapa pula konservatif tidak diizin untuk menjadi provokatif?[20]." Ketika Singapore Writers Festival 2015, Faisal telah mengisytiharkan Tuhan Manusia dan Tunggu Teduh Dulu sebagai 'water under the bridge'; atau antara kerja lampau beliau yang tidak diingini lagi. Mohd Faizal juga menolak untuk dikaitkan dengan gerakan sastera Islam untuk fasa seterusnya penulisan beliau, dengan menegaskan sastera Islam telah menjauhkan khalayak dan gagal mencapai maksud iaitu kemanusiaan. Hal yang sama beliau ulangi ketika ucapan pembukaan di ASEAN Literary Festival Keempat di Jakarta, Indonesia [21]. Pada tahun 2017, sepuluh tahun setelah penerbitan Tuhan Manusia, Faisal menyatakan di dalam artikel kolum beliau di Free Malaysia Today yang beliau berharap untuk menulis kembali novel tersebut setelah meyakini aspek keyakinan atau agama adalah urusan antara manusia dan Tuhan [22].

Beliau turut menyerlah dengan sebuah lagi novel kanak-kanak iaitu Nama Beta Sultan Alauddin (2007) terbitan Aberdeen World dan Detektif Indigo Kembali (2008) terbitan Ameen Publishing. Ia merupakan sambungan kepada Ikan Fugu, Lukisan dan Jimson. Seterusnya Ketupat Cinta di Harian Metro (sejak 13 Januari 2008-5 Ogos 2008) dan diterbitkan kembali oleh Ameen Publishing (2009) sebagai Ketupat Cinta Musim Pertama, sekuelnya 'Ketupat Cinta Musim Kedua Penggal Pertama' diterbitkan oleh penerbit yang sama pada tahun 2012.Kemudian, sebuah lagi novel sejarah dikarang iaitu Saasatul Ibaad terbitan Aberdeen World (2008) dan novel mengenai orang asal iaitu Bahlut terbitan Ameen Publishing (2010). Pada tahun 2011, Faisal Tehrani menghasilkan novel berjudul Sebongkah Batu di Kuala Berang bersama PTS Litera.Pada tahun 2012 juga, karya beliau berjudul Perempuan Nan Bercinta diterbitkan bersama Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) menimbulkan kehebohan[23] [24]. Ia kemudian diharamkan kerajaan Malaysia pada tahun 2014. Pada tahun yang sama, tidak kalah dengan tekanan yang dihadapi, beliau menerbitkan pula novel Bagaimana Anyss Naik Ke Langit terbitan DuBook Press yang mengisahkan nasib seorang aktivis/akademik yang memperjuangkan nasib kaum Penan[25].

Dalam bidang drama, karya Faisal Tehrani ialah; Rintih Chicago (memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1996/97). Angin Madinah (memenangi Hadiah Sastera Berunsur Islam anjuran Yayasan Pelajaran Islam Malaysia-DBP dan memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000-2001). MISI (1999-2000) telah ditaja oleh Dewan Bahasa dan Pustaka untuk di bawa mengelilingi Malaysia, ia dipentaskan di Kota Kinabalu, Kuching dan Pulau Pinang. TiVi adalah adaptasi dari novelet Sasterawan Negara Shahnon Ahmad dan diarahkan sendiri dalam tahun 2003 dan didanai di bawah program Teater Kecil oleh bahagian Sastera Kebangsaan Dewan Bahasa dan Pustaka. 

Kumpulan cerpen Faisal pula ialah, kumpulan cerpen mini diterbitkan di Sasbadi dengan judul Sehari Dalam Perang (1997). Juga kumpulan cerpen mini diterbitkan di Sasbadi dengan judul Safari Gilgit (1997), kumpulan cerpen Underground bersama Azman Husin dalam tahun 2000, kumpulan cerpen ‘Lagi-Lagi Underground’ dengan Saharil Hasril Sanin tahun 2002. kumpulan cerpen Perempuan Anggerik terbitan DBP pada tahun 2002, kumpulan cerpen ini disenarai pendekkan untuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2002/2003, kumpulan Cerpen Kekasih Sam Po Bo terbitan Aberdeen World (2006). Dalam tahun 2010 beliau menerbitkan kumpulan cerpen Tiga Kali Seminggu.

Dalam bidang puisi Faisal Tehrani muncul dengan kumpulan puisi beliau yang pertama iaitu Ingin Jadi Nasrallah pada tahun 2010. Ia diterbitkan oleh Ameen Publishing. Sasterawan Negara, Dato' Anwar Ridhwan menyifatkan Ingin Jadi Nasrallah sebagai "sebuah penerbitan yang menyerlahkan bakatnya sebagai penyair. Sebahagian besar puisinya mengandungi pemikiran mendalam yang diperkukuh dengan imejan, metafora serta diksi yang berkesan[26]."

Selain itu beliau juga menulis buku panduan penulisan kreatif dengan judul Karya Nan Indah (Ameen Publishing 2007).

Rujukan

WikiPedia: Mohd_Faizal_Musa http://ro.uow.edu.au/cgi/viewcontent.cgi?article=1... http://www.aseanliteraryfestival.com/?page=archive... http://www.beritadaily.com/news/2016-01-18/32047/a... http://www.budiey.com/drama-pelangi-ada-tujuh-warn... http://ukm.pure.elsevier.com/en/persons/mohd-faiza... http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2... http://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/... http://awards.kakiseni.com/winners/2003-awards/ http://www.malaysiandigest.com/archived/index.php/... http://www.projekdialog.com/featured/a-muslim-a-lu...